Perusahaan Pembuatan Atap Genting Senggora Di Kelantan

Bachok Heritage Trail – Route 1

Puan Noraini Hj Jusoh, lebih selesa dengan panggilan Kak Ani merupakan keturunan ke-5 yang mengusahakan bengkel membuat atap genting senggora di Kampung Pengkalan Baru. Perusahaan ini telah diwarisi dari datuk, bapa, dan kini telah digiatkan oleh beliau bersama-sama adik iparnya.

Kata beliau, terdapat lebih kurang 40 bengkel pembuatan atap genting senggora di sepanjang tebing sungai kampung ini. Sungai yang bertemu laut menghasilkan tanah liat yang terbaik isi mineralnya untuk menghasilkan produk atap senggora yang berkualiti tinggi, menjadikan kampung tersebut mewah dengan perusahaan ini.

Kandungan mineral tanah liat amat penting dalam menghasilkan kepingan atap yang bermutu, seperti yang ada di sini. Kenyataan ini disokong dengan fakta kajian seorang pengkaji yang banyak menyokong usaha Kak Ani.

Atap daripada tanah liat ini, pada asalnya diperkenal dan dibawa masuk dari Singgora (Songkhla), sebuah wilayah di Segenting Kra, Selatan Thailand namun teknik pembuatannya telah tersebar ke Kelantan dan Terengganu yang kini kekal mendapat sambutan penduduk setempat.

Bagaimanapun dek perubahan dan pengenalan teknologi baharu yang moden dalam pembinaan rumah yang lebih cepat dan kos efektif, atap senggora tidak lagi mendapat sambutan seperti dahulu. Namun begitu, ia tetap mendapat tempat di kalangan pengusaha-pengusaha resort.

Apa yang boleh dibanggakan sehingga kini, perusahaan atap Singgora Kampung Pengkalan Baru merupakan satu-satunya yang masih terdapat di Malaysia.

Sumber :

kelantanattractions.com
Jasa Teratai Holidays Sdn Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *