vocab kelantan logo

Tentang Kami

Apa yang memberi inspirasi kepada kami untuk menubuhkan Vocab Kelantan? Apa “background” di sebalik platform ini?

Vocab Kelantan diwujudkan adalah untuk memartabatkan dialek istimewa kami iaitu loghat Kelantan. Ramai yang cuba menggunakan loghat Kelantan, tapi dengan cara sebutan yang salah. Sebutan atau ‘pronounciation’ setiap perkataan dalam dialek Kelantan amat penting untuk makna penuh sesuatu ayat. Ejaan sama, tetapi sebutan berbeza akan memberikan maksud ayat yang berbeza. Jadi, pendekatan menggunaan animasi video bersuara dapat membantu menyelesaikan masalah ini. Pendekatan kami menggunakan animasi, audio cara sebutan dan contoh ayat akan dapat membantu sesiapa sahaja yang berminat untuk belajar dialek Kelantan. Secara tak langsung, ia akan menjadikan pembelajaran lebih santai dan interaktif.

Objektif utama adalah untuk membantu orang di luar sana memahami dialek Kelantan dan belajar cara sebutan yang betul dengan lebih cepat dan tepat. Dengan adanya Vocab Kelantan ini, semoga lebih ramai orang di luar sana tertarik untuk mempelajari dan mendalami dialek Kelantan terutama untuk berkomunikasi dengan rakyat Kelantan.

Dialek Kelantan juga merupakan satu medium penyatuan rakyat di Kelantan. Ia memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian sesama kami tak kira bangsa atau agama. Di Kelantan, kami lebih selesa menggunakan dialek Kelantan dalam percakapan harian. Tak kira Melayu, Cina, India mahupun Siam, semua lebih selesa untuk bertutur dalam dialek Kelantan tak kira di negeri sendiri ataupun di mana sahaja kami berjumpa. Tidak hairan jika ada kaum Cina atau India dari Kelantan memang sangat fasih dan pekat berdialek Kelantan.

Perkataan seperti ‘kawe’, ‘ambo’ atau ore (saya), ‘ghoyak’ (beritahu), ‘make’ (makan), ‘bakpo’ (kenapa), ‘tak dok gapo’ (tidak ada apa-apa), tubik (keluar), kelik (pulang) dan ‘bekwoh’ (kenduri) adalah antara dialek Kelantan yang biasa diucapkan dan didengari dalam kehidupan seharian masyarakat negeri ini. Tetapi, ada banyak lagi perkataan-perkataan yang unik dan jarang dipertuturkan oleh orang Kelantan dalam kehidupan seharian yang boleh kami kongsikan melalui platform Vocab Kelantan. Pendekatan yang cuba kami sampaikan di media sosial adalah penyampaian berkonsepkan silibus atau topik untuk membantu penonton lebih mudah untuk belajar dan faham.

Selain dari memperkenalkan dialek Kelantan, Vocab Kelantan juga akan menjadi satu platform perkongsian tentang adat, budaya dan lokasi menarik yang ada di Kelantan. Secara holistiknya, misi Vocab Kelantan adalah untuk menjadikan platform ini sebagai kamus hidup (Living Dictionary) yang dapat menggambarkan definisi sebenar tentang Kelantan merangkumi perkongsian dari aspek bahasa, adat, budaya dan tempat menarik di Kelantan.

Vocab Kelantan dikendalikan oleh 2 orang admin yang mana kedua-duanya merupakan anak jati Negeri Kelantan. (Mawardi Yunus) kini menetap di Kelantan dan (Khairul Anuar) menetap di Kuala Lumpur.

Jangan lupa follow Vocab Kelantan di Instagram, Facebook Page, Twitter, Tiktok & Youtube untuk perkongsian yang menarik berkaitan dengan dialek, adat dan budaya orang Kelantan. Jom datang Kelantan untuk kenali adat dan budaya orang Kelantan dengan lebih dekat.

YOUTUBE : https://bit.ly/2YMjuyf
FB PAGE : https://www.facebook.com/vocabkelantan
INSTAGRAM : https://www.instagram.com/vocabkelantan/
TWITTER : https://twitter.com/VocabKelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *